Showing posts with label Islamic Parenting. Show all posts
Showing posts with label Islamic Parenting. Show all posts

Saturday, December 6, 2014

Langkah-langkah Mengajar Anak Cepat Menghafaz al-Qur’an seawal Usia 2 Tahun

Assalamualaikum para ibu bapa yang hebat.

Usaha dalam mendidik anak-anak kita ke arah generasi menghafaz al-Qur’an adalah satu usaha yang sangat murni. Anak-anak yang masih kecil mampu menghafaz al-Qur’an bermula usia 2 tahun, percaya tak?

Alhamdulillah sudah ramai ibu bapa yang mampu mendidik anak mereka sehingga menghafaz surah-surah pendek pada usia antara 2 – 5 tahun. Ia bukan suatu yang mustahil! Lihat sahaja video ini di bawah.



Subhanallah!!

Pernah juga terdetik di hati Ummi, “macamana diorang buat??”, “apa teknik, apa langkah ibu bapa ini mengajar anak kecil menghafal al-Qur’an?” Bila kita ada pertanyaan begitu, Allah buka mata hati kita, Allah lorongkan, Allah jumpakan kita dengan tips, langkah-langkah, idea untuk mengajar anak kita menghafaz al-Qur’an.

Rupa-rupanya tidak lah begitu susah! Apa yang perlu? Kreativiti, usaha, istiqamah, usaha, doa dan selebihnya kita serahkan pada Allah.

Tanpa membuang masa, Ummi ingin kongsikan langkah-langkah atau teknik mengajar anak menghafal al-Qur;an yang telah dikongsikan oleh Ustazah Fhadilah Abdul Jamil di akaun facebooknya yang berbunyi seperti di bawah:-

=====
MasyaAllah La Hawla wala Quwwata illa Billah

Ini anak saya yang kedua, Sofiyyah Al-Hasna' baru berusia 2 tahun 5 bulan. Di usia setahun lebih, dia sudah boleh menghafaz al-Quran. Seperti kakaknya, Sebelum ini saya ada kongsikan anak sulung saya menghafaz al-quran ketika usianya 3 tahun lebih.

Sebelum itu, maaf saya pohon kepada sahabat-sahabat yang minta tip dari saya tentang cara mengajar anak-anak menghafaz al-Quran. Kekangan masa dan kesibukan membuatkan saya lupa dan tidak punya masa untuk menulis panjang-panjang.

Alhamdulillah, detik ini..Allah izinkan saya untuk share tip-tip dan cara yang saya gunakan untuk ajar anak-anak hafaz al-Quran dan baca Quran.

Antara tip-tipnya :
1 - Ibubapa perlu Perbetulkan niat dalam diri kerana Allah :- sebab didik/ajar anak kerana mereka amanah dari Allah. Anak-anak dilahirkan dalam keadaan fitrah. Kita sebagai ibubapalah yang mencorakkannya.

2- Disiplinkan masa mengajar anak-anak.
(Saya akan mengambil satu waktu dalam tempoh setengah jam- 1 jam keatas untuk ajar anak-anak mengaji/menghafaz al-Qur'an setiap hari@5@4 kali seminggu secara disiplin)
Waktu yang paling sesuai adalah selepas maghrib@zohor.

3- Untuk permulaan ajar mereka mendengar/menghafaz huruf hijaiyyah.
(Setiap hari saya sendiri akan membaca untuk anak-anak huruf alif, ba',ta' hingga ya' menggunakan flash card atau buku)

4- Apabila anak-anak sudah lancar hafaz dan kenal alif -ya'. Bolehlah mulakan membaca surah-surah dari juz 'amma.
(Saya akan mula ajarkan anak-anak menghafaz surah Al -Fatihah..seterusnya an-Nas..dan seterusnya dengan menggunakan sekeping kertas yang ditaip sendiri untuk permulaan)

5- Seterusnya, saya akan ajar anak-anak membaca dengan Muqaddam dihadapan mereka dan saya akan baca satu kalimah atau potong-potong ayat untuk anak-anak ikut saya. Ulang beberapa kali..Sampai jelas sebutannya.

Contoh :
Alham (الحمد)
Dulillah
hi rabbil
'alamin

6- Apabila anak-anak sudah dapat sebut dengan fasih kalimah tersebut, saya akan baca satu ayat terus tanpa potong dan begitulah ayat seterusnya.

Contoh : Alhamdulillahi rabbil 'alamin (الحمد لله رب العالمين )

7- Cara saya menguji tahap ingatan/hafazan mereka adalah ketika mereka sedang membuat kerja mereka/bermain barang mainan atau ketika saya didapur atau saya mengemas atau melakukan kerja rumah atau ketika mereka bersama saya. Suami juga turut membantu untuk mendengar/membetulkan hafazan mereka ketika suami punya waktu bersama anak-anak dirumah. Saya akan mulakan ayat pertama/kalimah pertama dari surah-surah tertentu..

Contoh : Surah Al-Masad
Saya baca : Tabbat yada..
Anak ulang dan sambung ayat
dan anak sambung sampai selesai satu surah.

8- Setiap kali anak-anak selesai membaca berikan pujian, doa dan ganjaran buat mereka.
Contohnya : MasyaAllah mumtazah, Barokallahu fik, atau apa sahaja yang positif untuk mereka. Contoh ganjaran pula : Kakak/adik baca nanti Allah sayang..atau bila kakak rajin baca nanti ummi buatkan kek, pizza atau belikan buku atau beri hadiah atau abi bawa ke hadiqoh atau apa-apa yang mereka suka. Tapi taklah selalu ajar beri ganjaran. bila time mereka tak mahu baca baru cakap

9- Sebagai ibubapa lazimi membaca al-Quran hari-hari kerana kita adalah idola dan contoh buat anak-anak. Biar sampai anak-anak kecil mampu memberi ingatan pada kita untuk baca al-Quran jika mereka tidak nampak kita baca. Anak-anak saya sendiri kalau tak nampak ummi mereka baca, mereka akan kata..ummi tak baca quran pun. Sedangkan saya baca cumanya ketika mereka asyik bermain jadi tak perasan saya baca lepas solat.

10- No gadget, No iPad, no handphone.. Saya tak berikan anak-anak bermain atau guna semua ni maksudnya mereka tak boleh pegang. Saya akan kawal sepenuhnya kerana bimbang bila mereka mula bergadget tumpuan mereka untuk belajar akan berkurang. Jangan risau, anak-anak ni cepat je belajar bergadget. Tak rugi pun tak bagi masa mereka kecil. Tapi yang ruginya tak ajar mereka ilmu yang bermanfaat terutamanya membaca dan mengenal al-Quran.

Setakat ini dahulu perkongsian dan tip saya, insyaAllah jika berkesempatan diwaktu lain saya akan kongsikan lagi tip dalam mendidik anak-anak.

Apa yang penting, sebagai ibubapa jaga hubungan kita dengan Allah. Terutama bagi yang mendidik atau mengajar anak-anak. Jauhkan dan tinggalkan perkara maksiat. Jaga pandangan mata dari melihat benda maksiat, jaga hati dari busuk hati dan buruk sangka sesama saudara kita. Semua ini bagi memudahkan anak-anak untuk menerima ilmu dari Allah. Mendidik anak-anak sungguh mencabar, ingatlah..cabaran itulah akan menjadi ganjaran pahala buat kita bilamana kita bersabar dengannya..

Selain itu jangan lupa setiap kali berdoa selitkan doa mohon dari Allah supaya jadikan anak-anak dikalangan yang cintakan al-Quran, jadikan anak-anak fasih dan dapat hafaz al-Quran. Yakin dengan doa kita sebagai ibubapa. Kita berusaha, selebihnya kita tawakkal pada Allah.

~ Semua kelebihan ini dan anugerah anak-anak adalah kepunyaan Allah, jika Allah tak mengizinkan nescaya ia tidak berlaku.
Bukan untuk riya' atau takabbur dengan apa yang ada.. cuma sebagai perkongsian untuk kita sama-sama membina keluarga dan menghidupkan suasana al-Quran dalam diri serta keluarga kita.. Perkongsian ini untuk mereka yang ingin mengambil manfaatnya. Yang tidak suka tidak perlu fikir bukan-bukan, boleh tinggalkan. Masing-masing ada cara tersendiri dalam mendidik..Saya yakin, anda semua mampu menjadi ibubapa yang terbaik untuk anak-anak supaya anak-anak menjadi anak dan hamba solih solihah kepada Allah~

Semoga semua kebaikan kita dalam mendidik anak-anak menjadi saham dan timbangan pahala diakhirat kelak buat kita semua. Amin Ya Rabbal 'Alamin.

(Alhamdulillah minggu lepas saya telah berkongsi dengan kawan-kawan disini dan mendapat feedback yang baik sekali)

Wallahua'lam.

Ummu Fathimah
=======
Video Sofiyyah al-Hasna' mengalunkan hafazannya boleh LIHAT DI SINI
Begitulah gigih seorang ibu mengajar anaknya menghafaz al-Qur’an. Mari kita doa sama-sama agar kita sebagai ibubapa juga bersemangat dan istiqamah mengajar anak kita menghafaz al-Qur’an juga. Ganjarannya sangat besar!

Ummi Abida @ Iffah Azhar (SID #929407)
Pengedar Sah Shaklee Gombak, KL
SMS/WhatsApp: +6011 2802 5257
Email: imariza87@gmail.com
Penghantaran Shaklee ke seluruh Malaysia termasuk Sabah Sarawak

Tuesday, December 2, 2014

Tarbiyah Anak Solat Subuh dan Menghafaz al-Qur’an

Assalamualaikum mommies hebat.

Entri ini bertujuan meluahkan perasaan gembira, di samping memberi motivasi kepada semua mommies untuk turut merasai kegembiraan ini bersama! insyaAllah. Anak soleh solehah idaman ibubapa beriman.

didik,anak.soleh

Malam kelmarin si Abi janji dengan kak long nak tanam biji betik yang nampak cantik untuk dijadikan pokok. Ada benih yang dah keluar akar pun. Maka, dengan semangat kak long suruh kejut awal sebab nak tanam pokok.

Selepas itu, malam tadi pula kak long bersemangat buat kali kedua untuk bangun awal. Biasanya kalau cuti sekolah ni (sabtu ahad pun) bangun seawal-awalnya 8.30 pagi. Kalau pagi sekolah pula, kena pujuk sebelum tidur baru masa bangun tu tak monyok je muka tu.

Ini pesan kak long kat Ummi malam tadi, “Ummi, ummi bangun pagi pukul berapa?”
Ummi: sebelum pukul 5.30pagi sebab nak solat subuh
Kak long: kita pun nak bangun pukul 5.30!! kita nak solat subuh dengan Ummi.

ALLAHH!!!!! Berbunga-bunga nya hati ini!! Alhamdulillah, terima kasih ya Allah!

Kemudian Kak long sambung…

Kak long: Abi, nanti abi belikan kita jam yang boleh bunyi tu.
Abi: Alarm clock, jam loceng ke? Pakai fon abi je lah.
Kak long: abi set pukul 5.30  tau! Kita letak fon abi tepi katil. Bila kita dengar jam bunyi, kita nak bangun sendiri.

Disebabkan kak long tidur agak lewat malam tadi, 11.30mlm, bila bunyi loceng dia tak larat nak bangun sendiri. Makanya, Ummi tuntun dia ke sinki, ambil wudhu dan solat berjemaah dengan Ummi.

Sebenarnya, sebelum mula cuti sekolah lagi en. Zauj dah berniat nak kak long bangun awal, dengar azan subuh, solat subuh bersama-sama kemudian menghafaz al-Qur’an. Menanam minat tu sangat penting.

Kemudian, kita bagitahu kak long keinginan kita supaya dia berbuat begitu. “nanti kak long dah 6 tahun kak long bangun awal, kita solat sama-sama, lepas itu hafaz Qur’an ye”. Mula-mula dia reject! Dia kata, “Ummi jangan kejut kita awal tau!” Masa tu Ummi takde pun kejut dia awal. Ummi nak dia berkeinginan sendiri untuk bangun awal.

Konsisten. Selalu bagitahu dia keinginan kita supaya dia bangun awal, solat subuh dan hafaz al-Qur’an. Beritahu dengan cara lembut, dan konsisten. Jangan bagitahu sekali sahaja, dia reject, kita pun terus senyap je. Cara nak pancing, beritahu kebaikannya, “nanti Allah sayang”, “nanti Allah bagi kita masuk Syurga”.. dan list kebaikannya akan berteruuusan sampai kita masuk Syurga insyaAllah!!

Lazimi anak mendengar al-Qur’an dan solat bersama. Semangat kak long untuk menghafaz al-Qur’an secara konsisten apabila dia sering menonton video Kaisa dalam rancangan Hafizh al-Qur’an Indonesia. Boleh klik video di bawah! Selain asyik tengok video tu, Ummi baru mula pasang mp3 surah-surah pendek dalam Juz an-Naba’. Hasilnya? Kak long semakin rancak meng”tasmik” surah yang dia hafal.



Solat berjemaah pun sama. Ajak dia solat sama-sama kita. Kalau dia lambat siap (berwudhu, pakai telekung, biasalah budak2 kalau bukan bab bermain, lambat je buat sesuatu), tunggu dia. Tunjukkan padanya kita nak dia solat sama kita. Jangan kata, “kak long lambat.. Ummi solat dulu, nanti kak long solat sendiri ok?” Salah ni!

Rasulullah menyuruh ibu bapa mengajar anaknya solat bermula tujuh tahun. Tetapi bagi Ummi, apa salahnya kita mula awal. . di tadika dia sudah belajar gerakan dan bacaan dalam solat. Di rumah pula kita ajak dia solat bersama. seawal umur 5 tahun, biar satu solat sahaja konsisten solat bersama, masuk umur 6 tahun baru solat 5 waktu bersama-sama.

Di atas ini semua usaha kita, kini tiba masa untuk berdoa. Berdoalah supaya anak kita menjadi anak soleh, solehah. Doa yang Ummi sering amalkan ialah:-

Rabbana hablana min azwajina wa zurriyyatina qurrata a'yun, waj `alna lil muttaqeena imama
Rabblana hablana minas solihin
Rabbana hablana milladunka zurriyyatan toyyibah, innaka sami'uddu`aa

Akhir sekali, bertawakkal pada Allah. Usaha dah, doa dah, sekarang kita serahkan pada Allah. Anak hafaz al-Qur’an, di bawah kuasa Allah, anak rajin solat pun di bawah kuasa Allah.

Anak-anak adalah amanah dari Allah supaya kita membentuknya menjadi anak soleh solehah. Berniat dan berkata-kata sahaja tidak cukup, harus dengan usaha kita. Doakan moga-moga usaha ini diredhai Allah dan kita dapat melahirkan generasi al-Qur’an. Amin!!!

Ummi Abida @ Iffah Azhar
SMS/WhatsApp: +6011 2802 5257
Email: imariza87@gmail.com

Thursday, October 16, 2014

Bangkit dari lena

Assalamualaikum semua,

Jarang pula rasanya bercerita tentang anak-anak dalam blog, selalunya kisah mereka dicoretkan di personal fb Ummi sahaja. Boleh lah usha cerita-cerita mereka di sini :)

Malam ini seperti biasa Ummi tidurkan anak-anak. Si kenit bijak tu makin lasak, menyusu pun sempat tendang-tendang kakak dia. Alhamdulillah sangat kak long ni penyabar orangnya. Tak ada lah sesi tendang menendang, kak long tak balas.. dia mengadu saja, “Ummi, tengok adik tendang kita”.

Tadi adik penat agaknya, dia sempat tendang-tendang kejap je, then terus fengsan. Kak long yang dari tadi senyap tiba-tiba bersuara..

“Ummi, kalau kita mati, kita tak nak mati sorang-sorang! Kita nak mati sama-sama empat orang, dengan Ummi, Abi dan adik. Boleh tak Ummi?”.

Ya Allah, tersentak lah kak long cakap macam tu. Tiba-tiba pula dia bersoal tentang kematian.


“Ummi, kita nak masuk syurga, tapi kita nak masuk syurga dengan Ummi, nanti kita nak Ummi, nanti kita rindu Ummi”.

Nada dia terus bertukar. Dia menangis! Rindunya kak long pada Ummi.

Ummi pun balas, “soal mati ini Allah yang tentukan. Ummi pun nak masuk syurga, sama-sama dengan kak long, dengan Abi, dengan adik. Kak long kena banyak doa pada Allah, semoga Allah masukkan kita ke syurga sama-sama”.

“kak long nak masuk syurga? Kalau nak, kita kena buat apa yang Allah suruh, apa yang Allah suka. Dan kita tak boleh buat apa yang Allah tak bagi kita buat. Apa yang Allah suruh kita buat?”

Kak long masih menangis, tak mampu berkata-kata.

“Allah suruh kita solat, Allah suruh kak long dengar cakap Ummi Abi, Allah suruh buat baik pada orang lain, kita kena belajar rajin-rajin”.

Tiba-tiba kak long bersuara lagi
“Ummi, kalau kita nak masuk syurga, macam mana kita nak bukak?” sambil tangannya seolah membuka sesuatu.

“Buka apa sayang”.

“Buka tu lah, kan kalau mati kita kena ikat”.

Owh, rupanya yang dimaksudkan kak long ialah kain kafan.

Ummi pun bercerita tentang roh dan jasad. Bila roh dimasukkan ke dalam jasad, bila roh dikeluarkan dari jasad. Dan itu semua kuasa Allah.

Perbualan malam ni memang membangkit diri ini dari lena. Juga menaikkan bulu roma!!

Anak kecil berusia lima tahun tanya soal kematian. Dia sudah memikirkan kehidupan selepas kematian.

Ke manakah hala tuju kita di kemudian hari? Adakah target kita ialah syurga yang kekal abadi? Adakah action kita akan menyebabkan kita capai target kita itu?

Kerana sentiasa dididik “nak masuk syurga, tak nak masuk neraka”, dalam fikirannya kak long akan masuk syurga. Tetapi dia tidak mahu masuk seorang diri, nak masuk dengan orang yang dia sayang.

Ahh, begitulah di akhirat nanti, di padang mahsyar nanti. Bagaimana tinggi kesayangan kita kepada orang tersayang, waktu itu kita lupakan mereka, kita tidak pedulikan mereka, yang kita fikirkan hanyalah diri kita sendiri. Bagaimana kah nasib kita, dari manakah buku amalan kita akan terima.

Adakah kita akan bersatu di dalam syurga nanti? Pasti itu harapan tertinggi kita kan?

Tersentak jiwaku malam ini, merintih hati ini meminta keampunan dari Ilahi. Andai saja esok bukan lagi untuk kita, moga-moga kita masih dapat bertemu dengan orang yang kita sayangi semula di syurga.

Sudah cukupkah usaha, amalan untuk kita masuk syurga? Bangkitlah dari lena wahai diri!! Allahu Robbi

Nota kaki:
  1. Terima kasih sayang atas soalan yang mengetuk diri dan minda Ummi malam ini. Allah ingin buka hidayah, pintu hari melalui anak kecil malam ini. Subhanallah. Terima kasih Allah!
  2. Masih banyak perkara yang harus Ummi ajarkan pada kak long. Sabar ye Nak. Ummi akan ajarkan sikit-sikit ikut kesesuaian waktu dan keadaan. Moga anak-anak Ummi berjaya dunia akhirat dan kita dikumpulkan semula di akhirat nanti ya! amiinn



Friday, October 10, 2014

[ BERDOA ]


Assalamualaikum semua,

Semalam Ummi ajak kak long solat Maghrib berjemaah. Seusai solat, Ummi pun kata Ummi nak solat sunat sekejap. Kak long pun “ok, kit abaca doa dulu!”. Doanya bersuara perlahan, tetapi sampai ke gegendang telinga Ummi.

Antara bait-bait doa kak long malam semalam…
“Ya Allah, jadikanlah kita anak yang rajin, rajin tolong Ummi, rajin baca buku, rajin solat”
“Ya Allah, sembuhkanlah Ummi”
Dan Ummi dengar dia sebut “Amiiinn” dan dah macam nak bangun dari tempat dia berdoa tadi. Tiba-tiba dia duduk semula dan sambung doanya…
“Ya Allah, jadikan Asma’ tak lasak sangat, tak kacau Ummi solat, tak tendang-tendang kita masa nak tidur, Aminn!”



Begitulah doa suci anak berusia 5 tahun itu. Anak yang belum mengetahui dan memahami masalah dunia, hanya masalah kecil yang sering dia lalui seperti perbalahan kecil dengan adiknya, masalah Umminya yang sering sakit, dan doa untuk dirinya supaya jadi anak solehah.


DOA dan ADAB

“Doa perisai umat Islam”. Sangat digalakkan untuk kita mommies ajarkan anak berdoa. Doa makan, doa sebelum tidur, DOA MASUK TANDAS adalah adab apabila kita melakukan sesuatu, manakala doa untuk diri sendiri adalah tanda kita merendahkan diri dan bertawakkal pada Allah.

Doa-doa harian jangan kita, mommies, pandang remeh! Apabila kita menghadap makanan saja, bacalah doa. Apabila kita hendak masuk tandas juga, bacalah doa. Apa saja kita ingin lakukan, bacalah doa. Dalam setiap doa ada pujian kepada Yang Maha Kuasa, dan dalam doa ada permintaan kepadaNya.


DOA DAN ANAK-ANAK

Anak-anak pula akan berdoa sesuai dengan apa yang sering kita, mommies, ajarkan. “Ummi demam, jom doakan Ummi cepat sembuh”, atau “Ummi doakan kak long selalu rajin belajar, rajin tolong Ummi…” dan sebagainya. Anak-anak yang sentiasa didedahkan dengan isu palestin pasti akan mendoakan untuk saudara seagama mereka di sana, betul tak?

Kalau di sekolah memang anak-anak akan baca doa sebelum makan bersama-sama rakan, namun doa sebelum masuk tandas dia tidak akan hafal jika kita tidak mengajarkannya.


DOA SPESIFIK

Surah Al-Mu’minun (40:60), “Dan Tuhan kamu berfirman, Berdoalah kepadaKu, nescaya Aku akan perkenankan permohonanmu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina”.

Sejak Ummi join group Shaklee iReach, kami sering diajarkan untuk meminta (berdoa) secara spesifik. Mari kita lihat analogi di bawah..

Maria pulang ke rumah ibunya pada hujung minggu dan ingin masakkan masakan special untuk ibunya tersayang. Dia pun bertanya kepada ibunya, “ibu nak makan apa hari ini? Maria nak masakkan untuk ibu”. Ibunya pun menjawab sambil, “masaklah apa-apa yang sedap”. Maria pun masak rending kambing bersama sayur lemak. Tiba saat menjamu selera, ibunya pun bersuara, “doktor kata kolestrol mak tinggi, tak boleh makan kambing, santan-santan semua ni. Hurmm..”.

Tengok!! Bila Maria tanya ibu dia nak makan apa-apa spesifik, ibunya kata masaklah apa-apa, alih-alih masakan Maria tak dapat pun dinikmati ibunya. Sadisss.

Begitu juga dalam berdoa, bila kita meminta kepadaNya, kita minta “apa-apa je lah yang best”, tengok-tengok best pada orang lain tetapi tak best untuk kita (atau tak sesuai untuk kita), kita pun fikir yang doa kita tidak dimakbulkan Allah (padahal yang datang tu tak sesuai dengan kita). Sebab itulah perlunya kita minta spesifik.
“Ya Allah, aku perlukan bonus RM5000 untuk bulan ini kerana aku ada hutang sekian sekian sekian..”
“Ya Allah, kurniakan kepadaku anak lelaki supaya dia boleh menjadi ketua rumah saat suami tiada di rumah dan boleh menjaga kami”
“Ya Allah, aku berhajat ingin naik haji tahun 2015 bersama-sama ibuku kerana…..”

Lagi spesifik bila kita sebut tarikh, bulan, tahun, tempat dan sebagainya. Bila kita berdoa spesifik, kita tahu apa kita perlu dan apa yang kita mahu. Kita menjadi seorang yang optimis dalam hidup, di samping kerendahan diri kerana kita meminta-minta pada Dia dan kita tahu tanpa izinNya kita tiada kuasa atas segala sesuatu.

Kesimpulannya, rajin-rajinlah berdoa, dan rajin-rajinlah ajak anak kita berdoa bersama. Alangkah seronoknya jika dengar anak kita doa begini, “Ya Allah, kabulkanlah doa Ummiku, permudahkan urusannya dan jadikanlah dia berjaya mencapai tangga Master Coordinator dalam bisnesnya”. Fuhh, hebat! Tidak lupa juga, adab berdoa dan waktu mustajab berdoa kita mengetahuinya!

Itu saja perkongsian Ummi kali ini. Semoga kita tanamkan habit selalu berdoa, berdoa selepas solat, berdoa ketika nak makan dan sebagai. Moga-moga kita menjadi Mukmin yang lebih baik setiap hari. insyaAllah!



Sunday, March 16, 2014

Guru tadika oohh guru tadika

Assalamualaikum semua.

Ummi memang tabik spring la pada guru tadika. Usaha dia, semangat dia, cara dia mengajar. Kalau diperhatikan, lepas balik sekolah, mesti ada benda baru yang akan dinyanyikan atau dibaca oleh kak long. Subhanallah!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...